ETALING JAYA – Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditahan selepas merempuh enam penunggang motosikal sehingga tiga daripadanya maut semasa sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pemandu lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan pada hari ini sementara kertas siasatan dilengkapkan.
Katanya, pemandu itu telah diberi jaminan polis kerana sedang menjalani rawatan di sebuah hospital rentetan daripada kemalangan tersebut.
“Pemandu itu telah ditahan semalam (Ahad) sejurus selepas kejadian kemalangan maut itu, tetapi kita telah beri jaminan polis hari ini (Isnin) kerana dia mengalami kecederaan patah bahu dalam kemalangan tersebut dan sedang dirawat di hospital,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Mohamad Fakhrudin menerusi kenyataan mengesahkan tiga penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat maut di lokasi manakala tiga lagi mengalami kecederaan termasuk seorang parah.
Kata beliau, mereka disyaki dirempuh oleh sebuah kereta dipandu lelaki tempatan yang disyaki dalam keadaan mabuk hingga kenderaannya terbabas.
Nahas maut itu dipercayai berlaku pada jam lebih kurang 5.59 pagi semalam ketika pemandu kereta terbabit sedang dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke arah Cyberjaya.
Kesemua mangsa kemalangan itu merupakan lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun.
Pemandu yang ditahan itu telah menjalani ujian saringan air kencing dan disahkan kandungan alkohol dalam tubuhnya melebihi had yang dibenarkan.
Siasatan kes ini diteruskan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette