Kanak-kanak lelaki 12 tahun yang tecucuk besi pintu pagar di punggung dibawa ke hospital untuk rawatan dalam kejadian di Sungai Besar hari ini. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau bagi seorang kanak-kanak berusia 12 tahun selepas punggungnya tercucuk besi pintu pagar rumahnya.

Kejadian itu berlaku di rumah mangsa yang terletak di Taman Seri Sungai Besar, Sekinchan Kuala Selangor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan orang awam memaklumkan mengenai insiden yang menimpa kanak-kanak tersebut pada Isnin jam lebih kurang 6.25 petang.

Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian jam 6.38 petang.

“Sejurus tiba, kami mendapati seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun telah tercucuk besi pagar dipunggung sedalam lebih kurang 6 inci.

“Mangsa yang mengadu kesakitan dalam keadaan terduduk atas pagar pintu besi tersebut.

“Mangsa telah diangkat bersama pintu pagar besi]yang dipotong bomba sebelum telah diangkat ke dalam ambulans untuk dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk tindakan rawatan lanjut,” tegasnya dalam kenyataan ringkas sebentar tadi. – MalaysiaGazette