Home Nasional Lelaki tunjal kepala pemandu wanita

Lelaki tunjal kepala pemandu wanita

https://www.tiktok.com/@malaysiagazette/video/7241491897309531394?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7224103700427277825

KUANTAN – Kecoh di media sosial hari ini dengan insiden seorang lelaki didakwa bersikap biadap dengan menunjal dahi seorang pemandu wanita.

Video berdusrasi 59 saat yang dimuat naik oleh salah seorang pengguna Facebook Aizacd Zack memaparkan perbuatan itu dirakam oleh penumpang kenderaan yang duduk bersebelahan seorang wanita di dalam sebuah kenderaan.

Difahamkan pentengkaran berlaku apabila lelaki berbadan tegap  itu tidak berpuas hati dengan pemanduan wanita terbabit lalu memberhentikan kenderaan dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan kuat.

Wanita bercermin mata di dalam kenderaan itu kemudian membuka cermin kereta lalu terus dimarahi lelaki berkenaan yang mengeluarkan kata-kata kesat.

Aksi lelaki itu melampau apabila menggugut untuk mencederakan mangsa dan penumpangnya.

”Bawa elok sikit, kau nak main, kau main dengan nyawa orang, babi! Kalau aku sepak kau kat sini dengan orang sebelah kau aku sepak nanti,” katanya dengan nada marah.

Bukan itu sahaja, lelaki yang berbaju merah itu juga dikatakan menunjal dahi mangsa apabila wanita itu cuba menerangkan situasi yang berlaku.

Namun lelaki berkenaan tetap memarahi mangsa dengan berkata; ”Kau jangan nak menjawab, kau main dengan nyawa orang, kau lagi nak tinggi suara, Kepala bapak kau, kau tak nampak korner?.”

Video tersebut mendapat ribuan reaksi dan komen netizen sejak pagi tadi.

Berdasarkan komen dari lokasi kejadian, ia berlaku di laluan Cameron Highlands turun menghala ke Tapah.

Bagaimanapun wanita berkenaan kelihatan terkejut memegang dahinya sempat meminta maaf kepada lelaki berkenaan.

”Saya minta maaf abang, bukan saya tinggi suara, saya cakap saya memotong di garisan putus-putus,” katanya.

Sementara itu, MalaysiaGazette berkesempatan menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan yang mengesahkan kejadian yang berlaku petang semalam membabitkan adik perempuan dan adik lelakinya di dalam kenderaan tersebut.

Mohd Amir Aizacd Shahrizan, 27, berkata, ekoran kejadian itu adik masih trauma kerana terkejut serta mengalami demam setelah dahinya ditunjal kepala secara kasar.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat berkaitan insiden tersebut.

Beliau sekeluarga berharap polis dapat mengesan pelaku pembuli jalan raya itu dan mengambil tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette