Rayer
RSN Rayer.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (PH-Jelutong), RSN Rayer mencadangkan agar kerajaan menarik balik gelaran Tun yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa, ia susulan bekas perdana menteri itu telah melakukan serangan terhadap kerabat Diraja dengan melakukan penghinaan menerusi Proklamasi Orang Melayu.

“Tolonglah hentikan serangan-serangan terhadap kerabat Diraja dan saya minta seperti yang diucapkan oleh YAB Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kelmarin di Istana supaya PDRM tidak berkompromi dan mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir kalau beliau masih meneruskan serangan-serangan terhadap kerabat Diraja.

“Saya juga minta kerajaan pertimbangkan supaya gelaran “Tun” beliau ditarik balik kalau beliau masih lagi meneruskan serangan-serangan ini,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, pada sesi petang, hari ini.

Rayer mendakwa, menerusi proklamasi yang dicanang oleh Dr Mahathir itu, kemungkinan bekas ahli Parlimen Langkawi berkenaan akan bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini telah mengkhinatinya.

Dakwanya, kedua-dua individu berkenaan cuba menghancurkan negara dengan tidak membenarkan Anwar melaksanakan tugasnya untuk menjaga kebajikan rakyat.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah melengkapkan kertas siasatan terhadap kenyataan Dr Mahathir berkenaan penghinaan terhadap Institusi Diraja dan Proklamasi Orang Melayu.

Perkara itu disahkan Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin yang memaklumkan, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada hari ini.

Katanya, keputusan itu selari peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette