KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menyelesaikan dua perkara sekiranya mahu kemenangan sebenar dan muktamad dalam kes tuntutan oleh sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.
Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata, kerajaan perlu menunjukkan surat perjanjian bagi membuktikan bahawa sebarang masalah berkaitan pajakan terhadap Sabah tidak boleh diselesaikan oleh pihak ketiga.
Menurut beliau, kerajaan perlu mendapatkan penghakiman bagi perkara tersebut.
“Perkara yang kedua adalah untuk menentukan bahawa yang memfailkan tuntutan adalah waris Kesultanan Sulu yang sebenar.
“Individu yang menyaman itu perlu membuktikan bahawa mereka adalah daripada susur galur Kesultanan Sulu yang sebenar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Azmi mengulas mengenai kemenangan penting yang diperoleh Malaysia di Mahkamah Rayuan Paris semalam terhadap pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mahkamah Rayuan telah membatalkan anugerah sebanyak AS$14.94 bilion (RM68.83 bilion) oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (pihak Kumpulan Sulu).
Azalina berkata, Malaysia sedang berusaha untuk membatalkan anugerah yang direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang sepatutnya membawa kepada kegagalan usaha penguatkuasaan global pihak yang menuntut.
Azmi menambah, dua perkara tersebut perlu dimuktamadkan oleh hakim bagi mengelakkan tuntutan serupa berulang di mahkamah timbang tara yang lain.
“Peguam yang lain akan mencuri peluang daripada kelompangan yang ada dalam perundangan antarabangsa.
“Itu kemenangan yang memberi semangat kepada kita tetapi dua perkara ini perlu ditentukan supaya tuntutan ini dapat diberhentikan secara muktamad,” jelasnya.
Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis yang dipengerusikan oleh Stampa mengarahkan Putrajaya membayar sebanyak AS$14.94 bilion kepada waris Kesultanan Sulu yang terakhir. – MalaysiaGazette