Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang petang tadi menahan seorang pegawai imigresen di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik pusat hiburan, pusat urut, pemilik kebun dan pemilik kilang kayu di sekitar daerah kawalannya.

Pegawai imigresen berusia 37 tahun itu disyaki meminta dan menerima rasuah secara bulanan antara RM300 sehingga RM3,000.

Difahamkan, pegawai berkenaan sudah menerima kira-kira lebih daripada RM500,000 sejak tahun 2018 sehingga 2022.

Bayaran rasuah ini bagi melindungi pekerja-pekerja mereka daripada diganggu oleh imigresen atas kesalahan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Bin Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ini merupakan penahanan kedua selepas SPRM menahan ketua polis daerah di Pahang kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Sumber memberitahu, pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu telah ditahan petang semalam.

Pegawai berkenaan dikatakan menerima suapan dianggarkan lebih RM1 juta sejak tahun 2017 hingga 2022. – MalaysiaGazette