peranan ulama UMNO
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti-parti yang bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan perlu saling mengundi rakan kerjasama politik pada pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lgi.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama politik lazimnya tidak mengubah dasar dan prinsip asas sesebuah parti.

Sebaliknya beliau berkata, perkara asas kepada kerjasama politik terjalin apabila syarat-syarat dipersetujui dan dipenuhi.

Sehubungan itu, kata Khairuddin, begitu juga dengan asas ‘mengundi DAP’ yang merupakan strategi politik semasa yang boleh berubah.

“Mengundi rakan kerjasama politik merupakan strategi semasa parti yang boleh berubah mengikut keadaan yang tujuannya demi matlamat semasa yang ingin dicapai,” katanya menerusi kenyataan.

Kerjasama tersebut, tambah beliau, boleh dinilai semula sekiranya wujud pelanggar terhadap apa yang telah disepakati.

“Apabila syarat dilanggar maka kerjasama politik boleh dirungkai dan dibatalkan. Itu asas dan prinsip dalam bekerjasama.

“Kerjasama politik dilakukan oleh semua parti-parti politik di pelbagai negara sebagai strategi semasa untuk mencapai matlamat tertentu bersifat semasa oleh parti. Ketika kerjasama politik, semua parti kekal dengan dasar masing-masing ketika bekerjasama tetapi ada titik dan prinsip yang dipersetujui bersama sebagai strategi dan pendekatan,” katanya.

Jelas beliau, UMNO bersetuju untuk bersama-sama Pakatan Harapan (PH) yang didalamnya terdiri daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sambil memperjuangkan empat prinsip yang telah disepakati bersama iaitu
menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan, mempertahankan institusi Raja-raja Melayu sebagai asas bernegara, memperakui Hak Istimewa Melayu dan Bumiputra dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Khairuddin berkata, Pas juga berhadapan dengan keadaan yang sama sebelum ini apabila bekerjasama dengan DAP dan mengarahkan ahlinya mengundi dan berkempen untuk parti berkenaan pada pilihan raya.

Perkara berkenaan menurutnya, adalah strategi politik semasa Pas ketika itu, demikian juga apabila Pas pernah mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad di atas trajedi Memali namun hari ini kembali memujinya kerana kemungkinan untuk kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) boleh diadakan.

“(Pada tahun) 2015 Pas terkeluar daripada Pakatan Rakyat dan tidak lagi bersama DAP. Terkini Pas pula bekerjasama dengan Gerakan yang juga pernah menentang keras usaha Pas menegakkan hudud. Sebelum ini Pas mengecam dan mengutuk Tun Dr Mahathir tetapi hari ini Pas kembali bersama Tun dan memuji Tun yang dulu dikecam kerana tragedi Memali yang melukakan hati ahli Pas.

“Apa yang pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak kata dan kutuk Pas tapi hari ini Pas dan Bersatu bekerjasama menerusi PN,” ujarnya. – MalaysiaGazette