UMNO medan politik kepartian Pas kalimah Allah calon BN Kuala Nerus pengusaha menu rahmah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Tidak perlu ada lagi pihak yang cuba mengelirukan umat Islam bahawa kalimah Allah tergugat dengan penarikan rayuan kes Jill Ireland Lawrence Bill.

Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Kerajaan Perpaduan telah melangkah jauh beberapa tapak dengan mengemaskinikan Arahan Pentadbiran bagi meperkasakan penguatkuasaan kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Menurut beliau, usaha mengemas kini Arahan Pentadbiran tersebut adalah bagi mengelakkan terdapat ruang untuk mencabar tindakan penguatkuasaan berkaitan penggunaan kalimah Allah di mahkamah seperti yang berlaku dalam kes Jill Ireland.

“Titik noktah yang dimuktamadkan oleh kerajaan adalah kalimah Allah adalah milik khusus umat Islam.

“Hakikat itu tidak lagi menjadi bahan pertikaian sebagaimana diperkukuhkan oleh keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Mohd Khairuddin yang Pengerusi Eksekutif Majlis Ulama UMNO mengulas mengenai perbincangan antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama-sama tokoh-tokoh Islam di bangunan Parlimen, hari ini.

Perbincangan tersebut bertujuan mengemas kini Arahan Pentadbiran terbaharu berhubung penguatkuasaan kalimah Allah hanya untuk umat Islam.

Beliau menambah, cadangan kemas kini tersebut akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seterusnya dipersembahkan ke Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu sebelum diperturunkan kepada Kabinet dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk pelaksanaan.

Pada 15 Mei lalu, media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Tindakan menarik balik rayuan itu dipersoalkan pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang dan pemimpin politik yang bimbang tentang kesannya terhadap maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette