Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kriteria dalam mengklasifikasikan golongan B40, M40 dan T20  bagi penentuan tawaran mengerjakan ibadah haji tahun 1444H serta jumlah jemaah haji yang menerima tawaran itu pada tahun ini, dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) itu akan dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Dalam sesi sama, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) juga dijadual bertanya mengenai status terkini suntikan vaksin virus papilloma manusia (HPV) untuk lebih 500,000 kanak-kanak perempuan yang terlepas suntikan dari 2020 hingga 2022 serta perolehan vaksin HPV yang diperuntukkan RM120 juta untuk tahun ini.

Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) turut membangkitkan soalan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sama ada kementerian itu membenarkan minyak masak peket bersubsidi dijual semula kepada industri biodiesel berikutan terdapat permintaan yang tinggi sebagai bahan bakar dalam industri pengangkutan udara.

Pada sesi soal jawab, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) turut membangkitkan persoalan mengenai garis waktu Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 dapat dimulakan semula dan adakah kapal itu boleh diselesaikan bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2026.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula ingin mengetahui bagaimana keputusan Kementerian Komunikasi dan Digital menamatkan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB) dalam penyediaan rangkaian 5G dengan membenarkan model dwirangkaian 5G melalui entiti baharu.

Sejurus selesai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung hingga 15 Jun ini.

-BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast