Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Populariti sebagai pempengaruh (influencer) dan angan-angan untuk mendapatkan wang mudah menjadi punca semakin ramai generasi muda pada hari ini tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sehubungan itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menggesa kerajaan mengambil langkah lebih agresif untuk menarik minat anak muda melanjutkan pelajaran sama ada melalui pendidikan akademik atau teknikal.

“Galakan ini wajar kerana universiti adalah salah satu gelanggang terpenting untuk pembangunan modal insan, lapangan mematangkan individu, membuat jaringan profesional dan memperbaiki komunikasi.

“Kerajaan juga perlu menyesuaikan silibus dan sukatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) memenuhi keperluan industri dan keboleh pasaran kerja,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.

Terdahulu katanya, statistik pada tahun 2020 mendapati lebih 35 peratus lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Jumlah berkenaan kemudian meningkat kepada hampir 50 peratus pada tahun 2021.

Sementara itu, Nurul Amal menawarkan kepada kerajaan supaya Puteri UMNO dijadikan Duta dan ikon Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menyebarkan program dalam bidang tersebut.

“Pergerakan Puteri boleh mainkan peranan sebagai Duta TVET dan ikon TVET untuk sebar-luaskan program TVET supaya lebih ramai tahu, dan lebih ramai wanita muda dapat diperkasakan Kita boleh mulakan dahulu, dengan menggalakkan adik-adik puteri menyertai program-program yang di
anjurkan oleh TVET.

“Dengan peluang yang ada, kita tingkatkan kemahiran, dan melatih semula bagi menjadikan diri kita lebih berdaya saing, seiiring dengan kepesatan keperluan industri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan semula inisiatif MyBrain yang telah ditangguhkan sebelum ini.

Jelas Nurul Amal, penangguhan inisiatif itu telah membantutkan sasaran 60,000 pemegang ijazah doktor falsafah (PhD)

“Jenamakanlah semula dengan RahmahBrain, MadaniBrain atau seumpananya. Ia telah memberi kesan kepada para siswazah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan PhD.

“Jangan potong bajet untuk pendidikan! Sejarah dunia mencatatkan perubahan negara bangsa berrmula di institusi pendidikan. Pendidikan itu asas kecemerlangan dan jadi tugas kerajaan untuk pastikan pendidikan diutamakan,” tegasnya.

Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan pada 2018 menangguhkan pelaksanaan atas alasan dana diperuntukkan tidak mencukupi.-MalaysiaGazette