Pemuda UMNO DAP
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh ketika hadir pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tuntutan agar DAP meminta maaf kerana mentohmah UMNO dahulu adalah muktamad dan Pemuda UMNO tidak akan menarik balik desakan itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, sayap berkenaan tidak gentar walaupun ada pihak yang menggelarkan mereka sebagai ‘langau’ dan ‘biadab’ ekoran desakan itu.

Menurut beliau, apa yang penting, Pemuda UMNO mesti membawa suara rakyat serta suara keramat parti.

“Kami sayang parti kita UMNO, kalau tak sayang kami tak cakap perkara yang betul. Bila pemuda bersuara, ini adalah suara akar umbi dari bawah.

“Pemuda jangan pernah rasa apologetik, keluar dari dewan ini kita patut berbangga kerana kita bawa suara akar umbi,” katanya.

Dr Akmal berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya pagi tadi, beliau membuat desakan tersebut bagi membuktikan bahawa DAP benar-benar ikhlas dalam menjalinkan persahabatan dengan UMNO.

Dr Akmal juga berpandangan, langkah itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media hari ini menyatakan, perkara itu tidak perlu lagi ditimbulkan kerana ia sudah melalui rundingan lebih awal antara UMNO dan DAP sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Dr Akmal menafikan desas-desus yang mendakwa beliau bergaduh dan tidak boleh duduk bersama Naib Ketua Pemuda, Mohd Hairi Mad Shah.

“Ini bukan generasi seperti sebelum ini, saya dengan Hairi tidak ada isu pun.

“Saya panggil abang Hairi sebab hormat saya kepadanya masih tinggi, jadi jangan laga-lagakan kami,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Hairi dalam ucapan penggulungannya menegur sikap ramai perwakilan sayap itu yang tidak berada di dalam dewan ketika perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda berlangsung.

Beliau berkata, mereka sepatutnya memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang disampaikan oleh para pembahas agar dapat dipanjangkan kepada akar umbi Pemuda UMNO di bahagian masing-masing nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast