PETALING JAYA – Seorang pemain bola sepak Liga Super yang disyaki memukul dan menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya ditahan polis di sebuah hotel, di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek yang juga bekas pemain Harimau Malaya dipercayai melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada seorang perempuan mendakwa berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya pada jam 6 pagi semalam
“Siasatan mendapati dalam perselisihan faham yang berlaku itu, mangsa mendakwa dia telah dipukul teman lelakinya itu sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian badannya serta menyebabkan kerosakan pada telefon bimbit miliknya.
“Hasil risikan polis, telah membuat serbuan di sebuah hotel di daerah ini sebelum berjaya menahan suspek di dalam bilik hotel tersebut pada jam 2.45 pagi (Khamis) untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek yang berusia 30 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan mengenai kejadian tersebut.
Tambah beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat yang membawa kepada penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette