KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membentangkan bajet tambahan dengan menambah bantuan bagi mengurangkan beban rakyat dan dalam masa yang sama mengurangkan kos pentadbiran kerajaan.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, ini kerana dasar subsidi bersasar yang dicanang oleh Kerajaan Madani tidak memberi apa-apa manfaat tambahan kepada golongan B40 dan M40 yang hampir 80 peratus warga kerja di negara ini.
Jelas beliau, meskipun ada subsidi bersasar namun majoriti rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.
“Pelaksanaan subsidi bersasar ini mungkin penting untuk kerajaan mengurangkan perbelanjaan tetapi yang lebih penting adalah merangka dasar pembangunan industri dan hala tuju industri-industri tertentu terutamanya industri yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Armin turut meminta kerajaan lebih berhati-hati dalam kos operasi pentadbiran yang dimaklumi sangat tinggi.
Tegasnya, kerajaan patut meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos tersebut.
Selain itu, beliau turut prihatin terhadap kisah seorang graduan ijazah sarjana muda dalam jurusan jurutera mekanikal terpaksa bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka.
Katanya, ini kerana wanita itu tidak mendapat tawaran kerja walaupun telah memohon di beberapa syarikat dan institusi.
“Ramai sebenarnya anak muda yang terbeban dalam kategori ini dan menyumbang kepada statistik golongan yang memerlukan bantuan dan subsidi. Ini berlaku kerana suasana ekonomi kita yang semakin mundur, merudum dan tiada hala tuju.
“Sehubungan itu, untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan perlu memberi fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah dan membantu dengan menambah bantuan atau subsidi jika tidak mencukupi, sebagai persediaan mengharungi keadaan ekonomi yang dijangka akan semakin mencabar,” jelasnya.
Tambah Armin, kerajaan juga perlu merangka satu ‘industrial masterplan’ yang meliputi dasar-dasar jangka-masa pendek dan jangka panjang.
Ini bagi menentukan permintaan dari ekonomi sentiasa terbuka untuk memberi peluang pekerjaan dengan gaji yang selesa dan ekosistem perniagaan yang mampan kepada semua.
Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlu membina dan memandu sektor-sektor tertentu dan memastikan sektor tersebut maju dan berdaya saing sekurang-kurangnya di Asia Tenggara.
“Sebenarnya dasar-dasar inilah yang kurang diberi perhatian dalam Kerajaan Madani dan tiada fokus untuk memperkenalkan dasar-dasar industri baru,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette