Ahmad Zahid menyampaikan replika cek SPED kepada seorang daripada lima usahawan bawah RCB di WTC, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lima usahawan bawah Rural Capital Berhad (RCB) menerima pembiayaian perniagaan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Bantuan di bawah Skim Pembiayaian Ekonomi Desa (SPED) itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, hari ini.

RCB merupakan syarikat milik penuh MARA Corporation Sdn. Bhd di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melaksanakan aktiviti pemprosesan dan pengagihan pembiayaan serta memantau kejayaan usahawan.

Lima usahawan yang menerima SPED itu mengusahakan perniagaan yang mendukung industri automotif, pengurusan majlis, marin dan industri perdagangan.

Antara aktiviti perniagaan yang dijalankan RCB ialah Perkhidmatan Pembiayaan, Pengurusan Bayaran Balik Pembiayaan, Digital-Based Solution dan Perlindungan Takaful.

Sehingga Mei lalu, sejumlah RM5,587,000 pembiayaan perniagaan telah diagihkan kepada 37 usahawan seluruh Malaysia.

Lima usahawan yang menerima SPED ialah Rizq Utama Sdn. Bhd yang mengusahakan perniagaan automotif menerima RM250,000; Ismajuu Enterprise (RM220,000), Roses Catering Hj. Din (RM250,000), Aynen Global Sdn. Bhd. (RM150,000) dan MSG Boat Building (RM180,000).

Jumlah pembiayaan SPED yang diluluskan untuk lima usahawan tersebut keseluruhannya berjumlah RM1,050,000. – MalaysiaGazette