Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyanyikan lagu UMNO 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' ketika hadir ke perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri  Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini dilihat bersama-sama para perwakilan menyanyikan lagu UMNO ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’.

Sambil mengibarkan bendera Sang Saka Bangsa, Anwar tidak janggal menyanyikan lagu itu biarpun sudah 25 tahun tidak bersama UMNO di Dewan Merdeka.

Terdahulu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi naik ke pentas sempena perasmian PAU2023, pagi ini.

Anwar tiba jam 9 pagi tadi bagi mengetuai parti komponen KerajaanPerpaduan pada perasmian PAU2023 kali ini.

Ahli Parlimen Tambun yang segak berbaju Melayu biru muda itu tiba selepas upacara menaikkan bendera UMNO “Sang Saka Bangsa”, kemudian menyertai ribuan perwakilan di Dewan Merdeka, untuk mendengar ucapan dasar presiden Umno.

Untuk rekod, kali terakhir Anwar menjejakkan kali ke PAU adalah pada tahun 1998 Ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO, sebelum dipecat.

Hadir sama adalah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM lebih bersemangat nyanyi lagu UMNO. ZAHID HAMIDI cam memain je banyak tersengih-sengih. akarumbi UMNO jangan leka… orang DALAM orang no 1 boleh mengaramkan UMNO. akarumbi nak tunggu hancur ke? ganti ganti ganti cepat cepat
    goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI

Comments are closed.