Anthony Loke Siew Fook.- Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk DAP mengemukakan permohonan maaf kepada UMNO atas tohmahan dan segala polemik yang timbul akibat persengketaan dan permusuhan politik antara dua parti itu sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya pihaknya sedia bergerak ke hadapan dan menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melupakan kisah silam mereka demi negara.

“Itu pandangan masing-masing, dalam ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, tentu ada banyak pandangan.

“(Tetapi) saya bersetuju dengan ucapan atau intipati ucapan presiden UMNO, lupakan kisah silam, bersama demi negara.

“Kita bergerak ke hadapan daripada persengketaan atau permusuhan politik selama ini, kalau kita terus mengungkit-ungkit kisah-kisah lama, dia akan tidak berkesudahan,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak DAP meminta maaf serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini.

Dr Akmal juga mempersoalkan tindakan Anthony yang sanggup datang ke Sarawak untuk meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Anthony juga berkata, jika DAP mahupun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menerima hakikat, sudah pasti Kabinet tidak boleh berfungsi dengan sebaik sejak enam bulan lalu.

“Kita telah pun membentuk kerajaan lebih dari enam bulan, kita telah pun membincangkan secara tujuan dan komitmen masing-masing

“Bagi saya apa yang dinyatakan oleh Presiden UMNO itu amat memadai dan kita akan terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Ketika ditanya tentang beza antara permohonan maaf kepada Kerajaan Negeri Sarawak dengan UMNO, Anthony bagaimanapun mengulas lanjut sambil mengulangi pendirian awal untuk bergerak ke hadapan.

“Tak perlu saya ulas lagi seperti kata, kita telah bentuk kerajaan lebih enam bulan dan kerajaan ini telah berfungsi dengan baik, jadi saya rasa kalau kita terus berpolemik dengan kisah-kisah silam, dia tidak akan berkesudahan.

“Kerajaan telah terbentuk lebih enam bulan, kabinet telah berfungsi, kalau duduk dalam satu jemaah menteri setiap minggu, lebih enam bulan.

“Setakat ini tidak timbul apa-apa isu berkenaan ketidakserasian parti-parti dalam kerajaan perpaduan dan kita akan terus bergerak ke hadapan, yang penting hari ini kita tunjukkan kerjasama,” katanya.

Katanya lagi, DAP juga senada dengan UMNO untuk meletakkan titik noktah pada kisah silam antara dua parti itu.

“Yang penting kita maju ke hadapan, ada pelbagai cabaran di depan kita ada enam pilihan raya negeri, cabaran ekonomi, pembangunan negara dan macam lagi kita perlu tempuhi bersama-sama.

“Saya rasa semua parti berlapang dada, semua pimpinan parti masing-masing telah menunjukkan satu komitmen yang begitu tinggi untuk kita bersama-sama.

“Saya rasa pandangan-pandangan lain itu kita hormati, tapi yang penting pimpinan masing-masing telahpun ada satu persefahaman yang begitu jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast