Jenazah ketiga-tiga beradik yang terbabit dalam nahas semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Setajam, di Kuala Rompin hari ini.

ROMPIN – Abu Bakar Ibrahim, bapa kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan dengan kren semalam redha dengan pemergian kesemua anak lelakinya.

Hati bapa mana yang tidak luluh dengan kematian sekelip mata anak-anaknya dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian Allah buat diri dan keluarganya.

Jenazah Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28, Muhammad Solihin Bin Abu Bakar, 21, serta Ahmad Jazuly Abu Bakar, 17 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Setajam, di sini pada jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, kehilangan mereka sangat dirasai lebih-lebih lagi anak-anak itu amat berjasa kepada keluarga kerana sentiasa membantu menguasahakan sawah milik mereka.

“Semasa kejadian, ketiga-ketiga anak dalam perjalanan balik dengan menaiki lori selepas meracun sawah manakalala ibunya bersama dua-beradik perempuan menaiki kenderaan lain.

“Anak yang sulung Firdaus memang sentiasa ikut ke sawah, dan Solihin pula balik cuti pergi membantu ibunya. Sebelum kejadian pukul 5 pagi arwah ada mesej mengucapkan terima kasih kerana selalu mendoakan dipermudahkan menjawab peperiksaan.

”Dan anak yang lelaki ketiga, Jazuly meninggal dunia pada hari kelahirannya, sebelum itu ada minta hadiah pada ibunya,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan di sini.

Lebih menyedihkan, kata Abu Bakar, ketika tragedi berlaku dia berada di Terengganu.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan anak sulung, ketiga dan keempatnya pada hujung Mei lalu, menyifatkan kesemua anak-anaknya seorang yang bertaggungjawab dan baik akhlak.

Sementara itu, rakan Allahyarham Solihin, Isa Akidah,19, menyifatkan kematian sahahat baiknya sebagai kehilangan besar buat warga Politeknik Muadzam Shah.

Isa berkata, Allahyarham Solihin, pelajar semester 5 jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu seorang yang disenangi ramai kerana suka membantu.

“Arwah baik dengan semua orang, suka menolong kawan-kawan dan sangat aktif di kampus.

“Dia pelajar senior dan saya kenal dia semasa Semester 1 lagi, memang dikenali ramai kerana arwah suka bergaul dengan semua,” katanya.

Manakala pensyarah arwah yang dikenali Aida menganggap pelajar itu seperti anaknya menyifatkan Allahyarham Solihin seorang yang memiliki akhlak terpuji.

“Macam tak percaya arwah telah tiada, namun redha. Arwah memang pelajar berbudi bahasa dan menghormati semua pensyarah. Kali terakhir berjumpanya ketika arwah menghantar tugasan yang diberikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Lori bertembung kren, 3 beradik maut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast