ayam dedak telur
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan berhubung ketiadaan subsidi bagi ayam dan telur bermula 1 Julai ini hanya akan menyebabkan harga bekalan makanan itu tidak stabil.

Malah, ia menafikan hak golongan B40 untuk mendapatkan keperluan asas tersebut pada harga yang sewajarnya, kata Exco Srikandi Bersatu (Bersatu) Malaysia, Nor Azah Abdul Aziz.

Beliau mempersoalkan, adakah itu pencapaian dengan formula yang digarap selepas tujuh bulan Kerajaan Perpaduan caturan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Srikandi Bersatu Malaysia terkilan dengan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu berhubung tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan PH-BN bermula 1 Julai depan.

“Subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai.

“Menurut jawapan Mohamad menerusi pertanyaan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, semalam berhubung tempoh harga ayam dan telur akan diapung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nor Azah berkata, tidak seperti ketika Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menggalas tugas sebagai menteri pertanian dan industri asas tani sebelum ini apabila beliau sedaya upaya mengekalkan subsidi kepada penternak dan pengeluar telur ayam sehingga Disember 2022.

Katanya, keputusan tidak menaikkan atau mengapungkan harga ayam di pasaran adalah bagi mengelak peningkatan kos sara hidup.

“Ini menunjukkan kerajaan PH-BN gagal menangani kos sara hidup rakyat dengan menghapuskan subsidi ayam dan telur.

“Selepas ini, subsidi apa lagi yang mahu dihapuskan, jika tidak sasaran seterusnya minyak paket bersubsidi atau tepung?” soalnya.

Tambah beliau, majoriti rakyat kini masih dalam keperitan menghadapi krisis kenaikan harga barang di samping mata wang ringgit yang lemah.

Justeru katanya, Srikandi Bersatu Malaysia mencadangkan kerajaan supaya membentang bajet tambahan untuk mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi kehidupan sukar menerusi bantuan tambahan kepada mereka.

Tegasnya, kerajaan perlu memberi fokus kepada pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan isi rumah.

Semalam, menurut jawapan di Dewan Rakyat, subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai.

Mohamad memaklumkan perkara itu menerusi jawapan lisan menjawab pertanyaan Mas Ermieyati berhubung tempoh harga ayam dan telur akan diapung.

Jelasnya, penamatan tersebut adalah bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini. – MalaysiaGazette