Promoter acara yang melarikan diri selepas mendera anak perempuan teman wanitanya dalam kejadian di Setapak akhirnya diberkas polis di Jinjang Kepong malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang melarikan diri selepas disyaki mendera dan mencederakan anak kekasihnya yang berusia setahun 11 bulan di Setapak akhirnya berjaya diberkas polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan D.Saralathan mengesahkan tangkapan ke atas suspek berusia 31 tahun itu di kawasan perumahan Kepong.

Katanya, suspek lelaki tempatan yang bekerja sebagai pempromosi acara sebelum ini telah dikehendaki polis bagi membantu siasatan jenayah penderaan kanak-kanak malang itu.

“Saya boleh sahkan bahawa suspek yang dikehendaki polis  berjaya ditahan malam ini (Khamis) dekat perumahan flat di Jinjang, Kepong.

“Polis akan mendapatkan perintah tahan reman ke atas suspek pada pagi esok (Jumaat),” katanya malam ini.

Tambah beliau, kes berkenaan sedang disiasat oleh Bahagian D11 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buru promoter acara dera anak kekasih

Terdahulu, dalam satu kenyataan petang Khamis, Saralathan memaklumkan pada Rabu jam 5 petang pihaknya menerima panggilan awam mengenai aduan kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan di Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang, Setapak, Wangsa Maju.

Katanya, hasil maklumat awal polis mendapati suspek lelaki warga tempatan merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa.

“Mangsa yang diselamatkan kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan segera dan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Saralathan lagi, siasatan polis mendapati mangsa dipukul suspek atas alasan membuat bising.

Katanya, siasatan juga mendapati suspek sering memukul mangsa dan perbuatan tersebut semakin menjadi-jadi sehingga mangsa mengalami bengkak pada bibir, lebam pada mata kiri dan kanan serta bahagian belakang badan.

“Semasa kejadian ibu mangsa berada di situ dan cuba menghalang teman lelakinya (suspek) daripada meneruskan perbuatan jenayah itu tetapi tidak berdaya,” katanya.

Siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016). -MalaysiaGazette