Amir Shafiq Suhaimi berusia 31 (dalam gambar) dikehendaki dan sedang dicari polis berhubung kes penderaannya terhadap anak teman wanita yang berusia setahun 11 bulan dalam kejadian semalam di PPR Desa Rejang Setapak.

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang disyaki melarikan diri selepas mendera anak teman wanitanya berusia setahun 11 bulan.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Blok M Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kes penderaan seorang bayi perempuan, semalam.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati suspek, Amir Shafiq Suhaimi, 31, adalah seorang warga Malaysia dan merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa.

Siasatan juga mendedahkan kejadian itu bukan kali pertama berlaku.

“Suspek yang bekerja sebagai promoter acara sudah biasa memukul mangsa.

“Namun kali ini perbuatannya itu menyebabkan bayi berkenaan mengalam bengkak pada bibir, lebam pada mata kiri dan kanan serta bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saralathan, lelaki itu dikatakan telah mendera mangsa di rumah yang didiaminya bersama ibu mangsa sebelum menghantar bayi berkenaan ke rumah neneknya di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya.

“Mangsa yang diselamatkan kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya lagi.

Menurut Saralathan lagi, siasatan polis mendapati suspek memukul mangsa atas alasan membuat bising.

Katanya, semasa kejadian, ibu mangsa berada di situ dan cuba menghalang suspek daripada memukul bayi berkenaan tetapi tidak berdaya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.-MalaysiaGazette