DAP maaf
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 JUN 2023.

DESAKAN Pemuda UMNO agar DAP meminta maaf atas tohmahan terhadap UMNO sebelum era Kerajaan Perpaduan mencetuskan pelbagai reaksi sama ada daripada pihak kawan atau lawan.

Akar umbi dan penyokong UMNO menyambut baik gesaan yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung sayap tersebut semalam.

Masih segar dalam ingatan mereka betapa celuparnya pemimpin-pemimpin DAP menghentam UMNO ketika berkempen dan berceramah semasa pilihan raya dahulu.

Akibatnya, ramai yang secara terang-terangan menyuarakan mereka agak berat hati untuk mengundi calon dari DAP pada enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Seperti yang dijelaskan oleh Dr Akmal, hati ahli-ahli dan penyokong UMNO akan lembut sekiranya pemimpin-pemimpin DAP berjiwa besar meminta maaf atas keterlanjuran kata-kata mereka dahulu.

Manakala, pihak lawan pula menuduh Pemuda UMNO hanya bermain wayang bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu menjelang PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kata mereka, UMNO kini dalam keadaan terdesak setelah orang Melayu termasuk ahli-ahli parti itu sendiri sukar menerima DAP yang kini menjadi sahabat baharu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Sama ada Pemuda UMNO benar-benar jujur atau hanya bermain wayang, ramai pihak berpandangan bahawa DAP memang patut meminta maaf.

Malah, lebih baik lagi jika permohonan maaf itu diperluaskan lagi kepada seluruh orang Melayu dan umat Islam yang pernah tersinggung dengan kata-kata dan tindak-tanduk pemimpin DAP dahulu lebih-lebih lagi ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan dengan UMNO, tindakan itu sedikit sebanyak akan mengendurkan prejudis orang Melayu dan umat Islam terhadap komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membela mereka.

Sekiranya DAP bersetuju untuk meminta maaf, parti itu pada masa yang sama perlu membuktikan kesungguhannya untuk mengikis imej cauvinis yang terpalit terhadapnya sejak sekian lama.

Mungkin sudah tiba masanya DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke mengendurkan tuntutan hak sama rata semua kaum yang selama ini meresahkan orang Melayu dan bumiputera.

Sebagai contoh, usah disentuh lagi tentang hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak rugi kalau DAP bertolak ansur dan berlembut kerana ia bukan sahaja dapat mengeratkan lagi hubungannya dengan UMNO malah mampu menangkis momokan kononnnya DAP adalah ancaman terhadap orang Melayu. – MalaysiaGazette