ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 parah selepas disyaki terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di Saujana Impian, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.20 pagi dan siasatan mendapati pelajar tersebut telah keluar sendirian untuk ke tandas.

“Kebiasaannya mangsa akan ditemani rakan sekelas untuk ke tandas namun semasa kejadian mangsa dilihat keluar seorang diri,” ujar beliau.

“Mangsa kemudian telah dijumpai terbaring di tingkat bawah bangunan sekolah dipercayai terjatuh dari aras 3 di mana terletaknya kelas mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mangsa dihantar oleh pihak sekolah ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan.

“Akibat insiden itu, mangsa telah mengalami kecederaan di kepala dan patah tulang belakang dan sehingga kini mangsa masih lagi menerima rawatan dan pemeriksaan di Klinik Neurology Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, kes diklasifiksi di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan bagaimanapun pihak polis masih melakukan siasatan untuk menentukan punca kejadian.

Orang awam yang ada maklumat berkaitan kes itu diminta berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawa penyiasat, Insp. Mohamad Faeez di talian 013-2773407. – MalaysiaGazette