Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir ke perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO hari ini mencadangkan supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu bertujuan untuk mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

Katanya, lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (M-DEC) dan lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig terdiri daripada anak muda.

“Justeru, jangan kita kesampingkan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi billion, sehingga mencecah RM52.4 billion pada tahun 2020 sahaja. Malah dijangka berkembang pada kadar 23% setiap tahun.

“Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig ini, ia akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Food Panda di luar sana.

“Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi Gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ini ke luar negara,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pelan Felda 5.0 bagi menyediakan perancangan teliti untuk generasi kelima peneroka.

Ahmad Zahid berkata, tumpuan pelan melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan dan akses kepada teknologi.

Selain itu pelan tersebut juga perlu menyediakan kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.

UMNO juga menggesa kerajaan agar dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan kereta api laju (HSR) yang dimulakan oleh Datuk Seri Najib  Razak.

“HSR yang dimulakan oleh PM Ke-6, tetapi dikaji semula oleh PM Ke-7 dan dibatal oleh PM Ke-8. Insya-Allah kita yakin akan terlaksana di bawah PM Ke-10.

“Kita juga mahu agar pembinaan ECRL dan Pan Borneo, untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette