KUALA TERENGGANU – Bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang di sambut dunia pada 8 Jun setiap tahun, UMT berkolaborasi dengan pihak Aquaria KLCC menganjurkan Ekspedisi Pemuliharaan Karang bertempat di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, Terengganu.
Program julung kali dianjurkan itu mendapat perhatian kira-kira 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan pekerjaan.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, program yang dianjurkan itu amat baik sebagai langkah berkesan dalam usaha pemuliharaan karang-karangan yang kini telah mengalami kemerosotan.
“Kami di UMT sememangnya menggalas tanggungjawab dalam pemuliharaan ekosistem dan alam. Kempen kesedaran penjagaan alam sekitar telah bermula sejak beberapa dekad lalu dan ia bukan sesuatu yang mudah dalam mendidik masyarakat ke arah itu.
“Usaha ini perlu digerakkan secara bersama dan digalas oleh semua pihak agar keberkesanannya dilihat lebih cepat supaya proses Pemuliharaan ekosistem alam semula jadi ini dapat berlaku dalam tempoh lebih singkat.
“Ekosistem alam yang lestari menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan kita bersama dan untuk generasi akan datang,” katanya.
Projek Ekspedisi yang dilancarkan di Aquria Kuala Lumpur itu turut menerima dana
berjumlah RM200000 bagi menggerakkan aktiviti Pemuliharaan Karang dan penyebaran
kempen kesedaran.
Sementara itu, Pakar Karang Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Prof. Madya Dr. Tan Chung Hong menyifatkan ketidakstabilan suhu air laut akibat cuaca panas memberi kesan buruk kepada batu karang.
“Kalau keadaan cuaca panas berlaku secara berpanjangan, batu karang akan mati. Jika suhu laut kembali pada keadaan normal dalam tempoh kurang dua minggu, batu karang akan mengalami proses pemulihan dan warnanya akan kembali seperti asal.
Tambahnya, kadar tumbesaran batu karang sangat perlahan dan ia mengambil masa kira-kira satu tahun bagi mencapai kepanjangan 10 sentimeter.
Beberapa aktiviti yang dijayakan seperti taklimat penjagaan alam sekitar, sesi perkongsian daripada penyelidik karang UMT, pengenalan penanaman semula karang dan lain-lain. – MalaysiaGazette