Pasukan mencari dan menyelamat bersama empat beradik yang hilang selama 40 hari di hutan Amazon Colombia.

BOGOTA – Empat kanak-kanak orang asli ditemui hidup selepas terselamat dalam nahas kapal terbang dan menghabiskan masa selama 40 hari di dalam hutan Amazon Colombia.

Presiden Colombia menyifatkan penemuan adik-beradik yang masing-masing berusia 13, sembilan, empat dan satu itu sebagai “kegembiraan bagi seluruh negara”.

Ibu kanak-kanak itu dan dua juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan mereka terhempas di dalam hutan pada 1 Mei lalu.

Kanak-kanak yang hilang menjadi tumpuan operasi menyelamat besar-besaran membabitkan berpuluh-puluh tentera dan penduduk tempatan.

Presiden Gustavo Petro berkongsi gambar beberapa anggota tentera dan masyarakat orang assli yang menjaga adik-beradik itu.

Seorang daripada penyelamat memegang botol ke mulut kanak-kanak terkecil, manakala seorang lagi menyuap salah seorang kanak-kanak lain.

Sebuah video yang dikongsi oleh Kementerian Pertahanan Colombia menunjukkan kanak-kanak itu dibawa masuk ke dalam helikopter dalam gelap di atas pokok-pokok tinggi dalam hutan.

Petro berkata, adik-beradik itu sedang menerima rawatan perubatan dan dia telah bercakap dengan datuk mereka.

Kanak-kanak itu telah diterbangkan ke ibu negara Bogota, di mana ambulans telah membawa mereka ke hospital untuk rawatan perubatan lanjut.

Pesawat Cessna 206 yang dinaiki kanak-kanak dan ibu mereka terbang dari Araracuara, di wilayah Amazonas, ke San José del Guaviare sebelum terhempas akibat masalah enjin.

Mayat tiga orang dewasa itu ditemui di lokasi nahas oleh tentera, tetapi nampaknya kanak-kanak itu telah melarikan diri untuk mencari bantuan.

Pencarian besar-besaran bermula dan pada bulan Mei, penyelamat menemui barang-barang yang ditinggalkan oleh kanak-kanak itu, termasuk botol minuman kanak-kanak, sepasang gunting, ikat rambut dan tempat perlindungan sementara.

Kesan tapak kaki kecil turut ditemui, yang menyebabkan pasukan pencari percaya kanak-kanak itu masih hidup di hutan hujan, yang menjadi rumah kepada haiwan liar seperti jaguar, ular dan pemangsa lain. – Agensi