Nizar UMNO
Mohd Nizar Najib (dua dari kiri) bersama Nooryana Najwa Najib (dua dari kanan), Mohd Nazifuddin Najib (paling kanan) dan Noor Azizan Abdul Majid (paling kiri) pada program bual bicara Rindu Yang Terpendam yang disiarkan UMNO Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata, ahli-ahli parti mahu melihat usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan secara berterusan.

Exco Kerajaan Negeri Pahang itu berkata, mereka tidak mahu momentum pembebasan Najib menjadi perlahan atau dilupakan.

“Mungkin semua benda yang diusahakan tidak boleh diceritakan kepada umum sebab sulit.

“Tetapi mungkin mereka boleh berkomunikasi dengan ahli-ahli lebih baik,” katanya pada program bual bicara bertajuk Rindu Yang Terpendam yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook UMNO Online, hari ini.

Program sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 itu turut disertai dua lagi anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa serta dikendalikan oleh moderator, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nizar menasihatkan ahli-ahli UMNO tidak terpengaruh dengan strategi lawan yang cuba mengambil kesempatan atas isu pembebasan Najib menjelang enam pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata, mereka ingin memporak-perandakan UMNO serta menghasut penyokong Najib untuk membelakangkan parti.

“Saya secara peibadi masih menaruh keyakinan terhadap UMNO dalam membantu membela ayahanda saya,” jelasnya.

Sementara itu, Nooryana Najwa berkata, pengikut Najib yang popular dengan gelaran Bossku tidak hanya terhad kepada ahli-ahli UMNO sahaja.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan mereka termasuk kaum Cina dan India yang tidak berparti dan menjadi pengikut kerana mengenang jasa Najib semasa menjadi perdana menteri dahulu.

“Mereka menyokong kami anak-anaknya, menyokong untuk membela dan membebaskan Bossku,” katanya yang juga Exco Puteri UMNO.

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin mendedahkan, terdapat segelintir ahli UMNO yang kecewa akibat tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini menyertai parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Lebih dikesali, kata beliau, mereka berbuat demikian dengan harapan dapat bertanding sebagai calon pada PRN nanti.

“Benda-benda macam ini yang kita perlu lalui di akar umbi, isu-isu di bahagian terutamanya di negeri-negeri yang ada pilihan raya,” jelasnya. – MalaysiaGazette