Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nooryana Najwa Najib menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nooryana Najwa Mohd Najib menyarankan agar ahli-ahli UMNO menggunakan media sosial seperti TikTok untuk mengulas mengenai isu-isu semasa.

Menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, anak bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berpesan, ia merupakan salah satu cara untuk menarik minat anak muda untuk kembali menyokong UMNO.

Beliau mempersoalkan, siapa pula yang berkata anak muda tidak lagi berminat untuk menyertai parti itu.

“Jika ada sesiapa yang dah mula aktif kat dalam Tik Tok, saya tahu ramai termasuklah otai-otai UMNO sudah mengikut trend terbaru…trend jika aku like (suka), kalau tak aku swipe, trend Wes Anderson, trend joget, trend Korea, anda akan lihat sendiri.

“Puteri sudah mula masuk FYP (untuk halaman anda), dengan content (kandungan) yang anak muda suka memberi ulasan tentang isu-isu semasa,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu, Nooryana Najwa berkata, beliau bangga melihat kebolehan dan kesungguhan rakan-rakannya dalam Puteri membahaskan isu-isu utama wanita muda dengan begitu profesional pada persidangan kali ini.

Katanya, terdapat dua isu penting yang membimbangkan dan perlu diperjuangkan melibatkan pendidikan dan ekonomi anak muda.

“Selaras dengan ucapan dasar Yang Amat Berhormat Presiden semalam, masa depan pendidikan dan ekonomi anak muda menjadi agenda utama kami kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette