jurucakap UMNO
Noor Azleen Ambrose membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur. Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak sewajarnya menjadi jurucakap mana-mana parti lain yang turut membentuk kerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Pada masa yang sama, wakil Johor, Noor Azleen Ambros menegaskan, parti-parti lain juga tidak berhak menjadi jurucakap UMNO.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Johor itu, walaupun terpaksa berkongsi kuasa, prinsip politik, nilai dan DNA UMNO mesti tidak lari dari matlamat perjuangannya.

“kKta tidak sesekali berganjak daripada terus membela Melayu, sederhana dalam menguruskan kemajmukan bangsa Malaysia, progresif dan sentiasa terkehadapan dalam penawaran penyelesaian setiap cabaran dan permasalahan.

“Ingatlah bahawa UMNO tidak berhutang kesetiaan kepada sesiapa. Kesetiaan mutlak dan hakiki UMNO adalah kepada negara, orang Melayu dan seluruh rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Noor Azleen berkata, dasar-dasar UMNO mesti berupaya mempengaruhi dasar-dasar utama Kerajaan Perpaduan terutamanya berkaitan ekonomi, perancangan pembangunan masa depan negara, pendidikan berkualiti, upah dan gaji yang bermaruah, perumahan dan mengatasi pelbagai kategori kemiskinan.

Beliay memberitahu, dasar-dasar tersebut mesti mencerminkan jiwa dan cara UMNO serta menggambarkan prinsip dan nilai parti.

“Tidak bermakna jika penyertaan UMNO setakat ini hanya untuk mencukupkan angka dan bilangan semata-mata.

“UMNO mesti mampu berperanan lebih daripada itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette