Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengenal pasti calon-calon yang bakal diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekarang supaya prestasi mereka boleh dinilai lebih awal.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebelum ini, parti lazimnya mengamalkan pemilihan calon pada saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon.

Menurut beliau, amalan tersebut boleh diubah supaya prestasi calon boleh dinilai setiap tahun dalam masa yang berbaki kira-kira empat tahun sebelum PRU16.

“Kalau dia tak perform dalam masa setahun kita boleh cari calon baharu tetapi yang paling penting kita kena kenal pasti dulu,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Berhubung pemilihan calon, Johari berkata, masalah tidak timbul sekiranya yang dicalonkan itu adalah ketua bahagian yang memenuhi kriteria WALI (boleh menang, diterima dan disukai).

Beliau menambah, masalah timbul apabila bukan ketua bahagian yang dipilih menjadi calon sehingga menyebabkan dia dan pasukannya serta jentera kecewa.

“Akhirnya bila calon baru datang dia akan ada masalah, bukan sebab calon yang baru datang itu tak bagus, bagus memenuhi semua kriteria tetapi kerana jentera kita tak dapat susun dengan baik.

“Akhirnya kita ada parti, calon yang bagus tetapi jentera tak bagus maka dia tak jadi,” jelasnya.

Johari turut menarik perhatian perwakilan tentang prestasi ekonomi negara yang merudum sejak Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah selepas PRU14.

Antara contoh yang diberikan beliau adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup di mana pada suku keempat tahun lalu ia mencatatkan kadar -1.7 peratus dan diikuti 0.9 peratus suku pertama tahun ini.

Selain itu, katanya, hutang sebanyak RM686 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN pada 2018 kini melonjak kepada RM1.5 bilion.

“Saya nak UMNO yang bersama dengan PH kena pastikan sebelum PRU16 kita mesti bawa pembaharuan, mesti buat pembetulan terhadap kejatuhan ini supaya rakyat percaya pilihan kita bersama PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast