Fadzli Mohamad Kamal ketika merasmikan Program Jerayawara Moh Kecoh Peringkat Negeri Pahang 2023 di Kg Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub hari ini.

KUANTAN – Kegiatan dadah berleluasa berpunca daripada pengaruh rakan sebaya dan berdasarkan kajian ia penyumbang sebanyak 80 peratus.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, statistik yang dilapokan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) itu merupakan menyumbang kepada faktor utama penglibatan mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

”Saya mengingatkan anggota masyarakat supaya sentiasa memantau pergaulan dan aktiviti anak-anak kerana kajian dari AADK menunjukkan bahawa 80 peratus punca terlibat dengan kegiatan dadah adalah berpunca daripada pengaruh daripada rakan-rakan.

”Masyarakat dinasihatkan supaya menekankan penglibatan anak-anak dalam aktiviti persatuan, sukan dan kokurikulum dan tidak hanya memberi fokus kepada pencapaian dalam akademik semata-mata.

”Ini kerana, penglibatan dalam aktiviti sebegini bermanfaat dalam membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin anak-anak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Fadzli, aktiviti tersebut dapat  memastikan anak-anak mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah sekaligus menghindarkan mereka daripada gejala dadah.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan ketika merasmikan Program Jerayawara Moh Kecoh Peringkat Negeri Pahang 2023 di Kg Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah AADK Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam. – MalaysiaGazette