AMPANG – Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang menggantikan Mohamad Farouk Eshak sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk dinaikkan pang kat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) dan dilantik sebagai Ketua Penolong D7 Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Mohamad Farouk dan Mohd Azam disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Sasikala dalam ucapannya merakamkan  tahniah kepada Mohd Azam yang dinaikkan pangkat daripada Superintendan kepada Asisten Komisioner (ACP).

“Jawatan yang diterima Mohd Azam akan hadir dengan tugas dan tanggungjawab yang lebih besar.

“Oleh demikian saya amat yakin beliau dapat melaksanakan tugas demi memenuhi misi dan visi pasukan polis di IPD Ampang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Farouk berkata, beliau telah melalui pelbagai pengalaman pahit, manis, suka dan duka sepanjang memimpin  IPD Ampang Jaya sejak 15 Oktober 2020.

“Pada masa sama, saya juga akui pelbagai kejayaan sudah dicapai IPD Ampang Jaya di bawah kepimpinan saya selama dua tahun lapan bulan berkhidmat di sini.

“Saya yakin beliau (Azam) mampu menggalas tugas dengan baik. saya doakan agar semua berjalan dengan lancar buat IPD Ampang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azam turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PDRM kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui IPD Ampang Jaya.

“Ampang Jaya bukan asing bagi saya, saya berharap pucuk pimpinan Polis Selangor memberikan panduan kepada saya sepanjang perkhidmatan,” katanya. – MalaysiaGazette