Syaiful Rizal (dua dari kanan) bersama Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin (kanan) menyaksikan pelajar UMP menggunakan peralatan SIR Corner untuk mencari data dan maklumat pembelajaran.

GAMBANG – Seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Mereka adalah pelajar dari keluarga B40 yang meneruskan pengajian di peringkat universiti, menerima sumbangan BAP sebanyak RM1,000 tiap seorang.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, untuk sumbangan itu, pihaknya memperuntukan sebanyak RM100,000 bagi membolehkan pelajar berkenaan mendapat kualiti pendidikan sama seperti yang lain.

Kata beliau, YBR cakna dengan nasib pelajar memerlukan dan sentiasa proaktif menghulurkan bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

“Walaupun jumlah kecil, tetapi saya harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka dalam meneruskan semester pengajian.

“Kita juga berharap ia sebagai pemangkin untuk pelajar berusaha mendapat keputusan cemerlang di masa akan datang,” katanya selepas menyerahkan BAP YBR dan merasmikan Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) kepada pelajar serta perpustakaan UMP di sini, semalam.

Replika cek BAP dan upacara gimik penyerahan disaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin; Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Kamariah Gono; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; dan Pengurus Jabatan Serambi Ilmu Rakyat YBR, Zatul Hasanah Mohd Radzhuan.

Syaiful Rizal (lima dari kanan), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin (enam dari kanan) dan sebahagian daripada 100 pelajar UMP yang menerima sumbangan BAP YBR.

Menurut Syaiful Rizal, bantuan itu melibatkan 100 pelajar dengan tiap seorang menerima RM1,000 dan pemilihan mereka dilakukan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP.

Semua mereka adalah pelajar Semester 1 hingga 3 di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Dalam majlis sama, YBR melalui SIR Corner menyumbangkan set kelengkapan kepada perpustakaan UMP dengan tujuan memberi manfaat kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.

Beliau berharap, pelajar dapat menggunakan perkhidmatan SIR Corner itu sebaik mungkin serta menjadikannya sebagai sumber alternatif rujukan penghasilan tesis atau tugasan melalui dunia tanpa sempadan.

“Bagi tahun 2022, sebanyak 20 IPT terkemuka di Malaysia dan dua pusat komuniti terpilih menerima SIR Corner dengan peruntukan kira-kira RM300,000.

“YBR juga memperuntukan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal.

“Usaha ini bagi menggalakkan tabiat membaca tanpa sempadan kepada pelajar dan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette