KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa didakwa berbohong apabila mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘merayu’ ahli-ahli yang dipecat untuk kembali ke pangkuan parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Ahmad Zahid tidak bercakap begitu semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada minggu lalu.
“Zahid kata, pintu UMNO terbuka untuk bekas ahlinya hadir PAU 2023.
“UMNO juga terbuka jika mereka merayu untuk kembali menjadi ahli UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Kelmarin, Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, beliau tidak akan kembali kepada UMNO malah mengumumkan telah menyertai Pas.
Mohd Puad turut menyifatkan Annuar sebagai angkuh apabila berkata hartanya dihabiskan untuk UMNO.
“Baguslah. Tapi jangan pula masuk Pas kerana jawatan untuk tambah harta yang tinggal sisa,” kata Puad.
Beliau juga hairan kerana baru sekarang nampak kejujuran Pas setelah lapan kali bertanding menentang parti berkenaan pada pilihan raya sebelum ini.
“Dia nampak kejujuran Pas, dipecat dan hilang jawatan.
“Atau baru sekarang Annuar nampak, masuk Pas masuk syurga. Jawab Shahidan, jawab,” katanya. – MalaysiaGazette