Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang khuatir pengenalan gula premium iaitu gula putih bertapis jernih sebagai strategi untuk menghapuskan gula putih bertapis biasa.

Ahli Parlimen Parit Buntar (PN), Mohd Misbahul Munir Masduki mempersoalkan tindakan membenarkan syarikat pengeluar gula untuk menjual gula premium yang disifatkan sebagai mahal disebabkan kerajaan gagal mengawal bekalan gula di pasaran.

“Saya hairan mengapa kerajaan begitu berani tidak mengawal harga gula dan (membenarkan) di bawah kuasa pasaran semata-mata.

“Kalau berlaku sesuatu perkara misalnya ada konspirasi syarikat menghadkan pengeluargan gula rakyat, rakyat tak ada pilihan terpaksa beli gula jernih yang mahal, sebab gula satu keperluan.

“Musim perayaan orang hendak beli gula. Bila ada konspirasi syarikat pembekal gula untuk mengejar keuntungan, rakyat akan menjadi mangsa,” kata beliau dalam Dewan Rakyat.

Mohd Misbahul berkata demikian ketika membahaskan Penerangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menngenai Kebenaran Pengerluaran Gula Pulih Bertapis Jernih.

Kebimbangan sama disuarakan oleh Ahli Parlimen Rasah (PH), Cha Kee Chin.

“Apabila kerajaan mempunyai inisatif atau mengeluarkan satu arahan membenarkan dua kilang tersebut memproses atau mengeluarkan gula mentah jenis jernih yang mahal dan harganya terapung di pasaran.

“Apakah ia akan wujudkan komplot di antara kilang, pemborong dan peruncit dalam rangkaian supaya mewujudkan satu situasi di mana mewujudkan satu situasi yang dikawal harga dia.

“Gula biasa, gula rakyat sentiasa tidak cukup seolah-olah tak cukup stok dan menyebabkan rakyat tertentu terpaksa beli gula yang mahal ini,” kata Kee Chin.

Manakala Ahli Parlimen Hulu Terengganu (PN), Datuk Rosol Wahid pula berkata, peruncit mungkin lebih memilih untuk menjual gula premium disebabkan harganya yang lebih mahal.

“Gula putih bertapis jernih premium harganya RM4.60 bezanya yang besar antara RM2.85 dengan RM4.60.

“Kita bimbang kerana rungutan rakyat bahawa bila kilang ada harga mahal dan ada harga murah sebagai seorang peniaga semestinya mereka akan cenderung untuk menjual barang yang lebih mahal kerana itu menguntungkan,” katanya.

Sementara itu Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam penerangannya sebelum itu menegaskan, gula bertapis jernih bukan pengganti kepada gula biasa yang digelar sebagai gula rakyat.

Pada masa ini sebanyak 42,000 metrik tan gula biasa dikeluarkan sebulan.

Kuantiti tersebut mencukupi untuk kegunaan domestik dan dijual pada harga runcit yang dikawal kerajaan iaitu RM2.85/kg (kasar) dan RM2.95/kg (halus). – MalaysiaGazette