rumah mampu milik
Aminuddin Harun (empat dari kanan) menyerahkan kunci kepada pemilik rumah pada majlis penyerahan kunci Residensi Seremban Sentral di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pembinaan sebanyak 28,901 unit rumah mampu milik setakat 31 Mac lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan jumlah rumah mampu milik bagi memastikan keseimbangan taraf hidup rakyat dan ekonomi terus berdaya saing.

Selain itu, menurut beliau, melalui Inisiatif Belanjawan 2023, Kerajaan Negeri Sembilan meneruskan inisiatif Rumah Harapan Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Sehingga kini, kerajaan negeri menerima lebih 1,000 permohonan membina rumah di bawah Program Rumah Harapan Rakyat sejak ia diperkenalkan pada 2021.

“Skim ini menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai RM75,000 kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah banglo setingkat di atas bidang tanah masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Residensi Seremban Sentral di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sehubungan itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menggesa rakyat di negeri ini merebut peluang untuk membeli rumah pada kadar harga yang bersesuaian dengan kemampuan pendapatan bulanan mereka.

“Kerajaan negeri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama berdaya saing ke arah merealisasikan matlamat menuju negeri sejahtera, inklusif dan mampan menjelang 2045,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast