Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama sebahgian mahasiswa pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang telah dinaikkan pada 7 November 2022.

Selain itu, kenaikan RM100 kadar ESH sebulan bagi pelajar tajaan JPA di dalam negara mengikut peringkat pengajian, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2023 yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA.

“Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi khususnya pelajar-pelajar B40 yang tinggal di bandar- bandar besar negara pengajian,” kata Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2023.

Inisiatif semakan semula kadar ESH ini akan membolehkan pelajar-pelajar tajaan kerajaan memberi fokus kepada pencapaian kecemerlangan akademik tanpa memikirkan bebanan kewangan pengajian di samping memastikan penawaran penajaan kerajaan adalah kekal relevan dan berprestij, katanya.

Sementara itu, kenyataan sama turut dibaca Anwar pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi hari ini.

Kenyaatan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed kepada Anwar ketika sesi soal jawab diadakan.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast