SEREMBAN – Stesen Kereta Api Seremban dan kawasan sekitarnya akan dinaik taraf sebagai hab pengangkutan awam bersepadu Negeri Sembilan di bawah cadangan pembangunan Seremban Sentral.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek tersebut akan menerapkan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Menurut beliau, menerusi TOD, kerajaan ingin memastikan tanah-tanah bersebelahan hab pengangkutan awam terutamanya stesen kereta api dapat dibangunkan untuk menyokong agenda perumahan mampu milik.
“Ini kita akan teruskan dan sudah tentu kalau ada ruang untuk kita kerja sama dengan PR1MA kita akan cari peluang tersebut,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan kunci Residensi Seremban Sentral di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anthony menambah, projek yang bakal dijalankan secara berfasa itu memberi penekanan terhadap pengintegrasian antara Residensi Seremban Sentral dan Stesen Kereta Api Seremban di mana konsepnya adalah seperti KL Sentral.
Beliau memberitahu, antara kemudahan yang perlu dibangunkan adalah laluan pejalan kaki dari kawasan perumahan baharu itu ke Stesen Kereta Api Seremban.
“Untuk Stesen Kereta Api Seremban, saya telah meminta Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk segera melaksanakan naik taraf stesen tersebut.
“Stesen tersebut tidak cukup untuk menampung permintaan dan kegunaan untuk rakyat dan penduduk Seremban terutamanya apabila Residensi Seremban Sentral siap,” jelasnya.
Anthony memaklumkan projek menaik taraf bangunan dan tempat letak kereta Stesen Kereta Api Seremban yang melibatkan peruntukan RM8.5 juta telah bermula dan dijangka siap pada Januari 2025.
“Bagaimanapun, struktur hadapan stesen yang asal tidak akan diusik kerana ia telah diwartakan sebagai bangunan warisan,” katanya.
Beliau berkata, RAC juga akan menaik taraf laluan pejalan kaki sedia ada dari Stesen Kereta Api Seremban ke stesen bas Terminal 1.
Anthony memberitahu, beliau difahamkan bahawa Majlis Bandaraya Seremban akan melantik pengusaha baharu untuk menaik taraf Terminal 1. – MalaysiaGazette