Gelagat pelajar bersama gurunya selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang. Foto FAREEZ FADZIL, 08 JUN 2023.

JIKA diputar kembali masa kepada 18 tahun yang lalu ketika penulis kembali semula ke sekolah untuk mengambil keputusan Sijil Pelajar Malaysia (SPM), pelbagai perasaan ‘berperang’ di dalam hati ketika itu. Begitulah juga penulisan rasakan buat calon SPM 2022 seramai 373,974 semasa melangkah masuk ke pagar sekolah untuk mengambil keputusan mereka pada 8 Jun lalu. Pastinya pelbagai reaksi pelajar, guru mahupun ibu-bapa dapat dilihat pada waktu ini atas keputusan yang diterima. Riak wajah gembira, sedih, teruja, terkejut terpinga-pinga dan bermacam lagi emosi bercampur baur ketika ini.

Memetik kenyataan daripada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, ketika mengumumkan keputusan SPM 2022, beliau berkata, seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian. Bagi calon mendapat keputusan lulus, ia membabitkan seramai 128,193 atau 34.3 peratus, manakala 126,793 calon atau 33.9 peratus pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran. Selain itu, Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 menunjukkan peningkatan kepada 4.74 berbanding 4.86 bagi SPM 2021.

Antara pencapaian lain SPM 2022 yang membuatkan penulis lega ialah pencapaian calon SPM 2022 bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan dengan jurang pencapaian semakin mengecil, iaitu sebanyak 0.03 mata berbanding SPM 2021. Tetapi disebalik kisah pencapaian SPM yang lebih baik, ada ‘angka’ yang kurang sedap didengar apabila dilaporkan wujud trend peningkatan pelajar lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Angka rasmi seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada 2021. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, angka tersebut menunjukkan trend peningkatan berbanding seramai 115,939 pelajar atau 35.16 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya. Menurutnya, statistik tersebut diperoleh menerusi sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengesan pelajar lepasan SPM untuk mengumpul status mereka selepas tamat Tingkatan 5.

“Berdasarkan sistem ePKM, statistik menunjukkan pada 2020, sebanyak 35.16 peratus (115,939) dilaporkan tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pada 2021 pula, data statistik sistem ePKM menunjukkan sebanyak 48.74 peratus (180,680) murid lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Rentetan dari trend yang tidak sedap didengar ini, dapatan kajian dari Strategik Forward Malaysia Research Centre berhubung pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pengajian berterusan berlaku, ia akan menyebabkan negara kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran. Jika melihat beberapa tahun kebelakang, institusi pendidikan tinggi sebenarnya sudah lama bergelut untuk mendapatkan pelajar khususnya dalam program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kemahiran yang menurun secara signifikan.

Ketika negara menyusun pelbagai strategi untuk menjadi negara maju, negara berpendapatan tinggi dan pelbagai sasaran yang lain di masa hadapan, penulis melihat tanpa tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi, ia meletakkan negara di laluan berliku dan semakin jauh dari sasaran. Pelbagai pihak sudah membuat gesaan untuk kerajaan mencari solusi segera kepada keributan ini kerana ia akan terus merugikan negara dan lebih malang lagi masa depan pelajar tersebut.

Di peringkat KPM bagi membendung peringkatan trend ini, program pembangunan diri murid dan pendidikan kerjaya di sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan belajar, mengembangkan potensi, kecenderungan, sikap, minat dan hala tuju kerjaya dilaksanakan. Malahan guru bimbingan dan kaunseling (GBK) juga diberikan pendedahan kepada maklumat berkaitan pendidikan tinggi serta kerjaya terkini selaras dengan peranan mereka sebagai pakar rujuk kerjaya di peringkat sekolah menengah.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga baru-baru ini mengumumkan ‘formula’ baharu berkaitan perubahan pengajian di universiti bermula sesi 2023/2024 dengan dengan memperkenalkan jadual kuliah anjal dan tempoh pengajian dipendekkan. Perubahan ini membabitkan 95 program pengajian ijazah sarjana muda di 19 daripada keseluruhan 20 universiti awam (UA). Sebanyak 44 program daripada sembilan universiti dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

Langkah KPT ini dijangka memulihkan kembali minat dan kecenderungan anak muda untuk meneruskan pembelajaran kerana formula baharu ini akan mengurangkan bebanan yuran pengajian serta memberi fleksibiliti belajar sambil bekerja. Ruang masa dan tempoh pembelajaran fleksibel ini menurut KPT akan menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM meneruskan pengajian. Di sebalik kegusaran masyarakat berkaitan isu ini, kegusaran yang bermain di hati kumpulan pelajar ini juga harus kita santuni.

Dengan menoleh disekeliling mereka melihat segulung ijazah masih tidak mampu menjamin kehidupan meyakinkan, masa depan yang terjamin dan gaji bermaruah, sudah pastinya senario ini mempengaruhi mereka. Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih baik dan semeastinya menyambung pengajian adalah suatu keperluan. Segala keputusan dan dasar yang akan diambil kelak berkaitan isu ini perlu berpaksikan kepada realiti sebenar serta beradaptasi dengan keperluan semasa dan masa hadapan.

Penulis adalah Penolong Pendaftar Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan merupakan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast