Seramai 142 jemaah haji berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – “Saya kumpul duit sejak 2008 dengan mengerjakan ladang kelapa sawit dan syukur apabila diberi peluang menunaikan haji tahun ini,” kata Mohamad Othaman, 68.

Jelas Mohamad, dia rasa lebih terharu apabila dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu bersama isterinya, Che Lian Osman, 65.

“Hampir 15 tahun kami kumpul duit untuk pergi haji dan penat lelah kumpul duit selama ini akhirnya berbaloi apabila kami berdua dapat ke tanah suci serentak.

Mohamad.

“Perasaan saya memang tak dapat digambarkan kerana bakal menjadi tetamu Allah SWT serta akan bertemu dengan isteri selepas hampir dua minggu kerana dia sudah berangkat ke tanah suci pada 4 Jun lalu,” katanya yang menetap di Jawi, di sini.

Tambah Mohamad, secara keseluruhannya urusan jemaah yang dilakukan pihak Tabung Haji, sangat lancar serta pantas

Seorang lagi jemaah dari Alor Setar, Sobehah Bakar, 65, berkata, dia dan suami tidak putus  berdoa agar dapat menunaikan haji susulan mereka antara jemaah yang menerima panggilan pada 2021 ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Sobehah (baju biru) ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang hari ini.

“Sejak itu kami hanya mampu berdoa supaya dapat menjejak kaki ke sana dan syukur doa kami dimakbulkan apabila saya menerima panggilan haji disusuli suami, tidak lama kemudian selepas mengemukakan rayuan

“Biarpun diuji dengan beberapa masalah kesihatan, saya tetap bersemangat dengan mengajak suami, Zulkiffli Omar, 70, membersihkan laman rumah setiap pagi sebagai senaman,” katanya.

Terdahulu, kumpulan jemaah berkenaan diraikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Hadir sama, Pengarah Tabung Haji negeri, Maznizan Mamat.

Ahmad Zakiyuddin meraikan kumpulan jemaah terakhir dari utara berlepas ke tanah suci.

Sementara itu, Maznizan berkata, sejak 3 Jun sehingga semalam, seramai 1,542 jemaah dari sekitar negeri utara tanah air sudah berangkat menunaikan haji.

“Bagi di negeri utara tanah air, ia adalah penerbangan terakhir yang berlepas dari Bayan Lepas.

“Pada hari ini, seramai 142 jemaah menaiki penerbangan Malaysian Airlines Berhad (Malaysia Airlines) MH8443 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 11.55 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Jeddah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast