PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil langkah-langkah proaktif serta holistik dalam melaksanakan 15 perkara yang disyorkan oleh Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) untuk memperbaiki tahap ranking negara mengenai Pemerdagangan Orang pada tahun akan datang.
Pada masa sama, perkara penglibatan penjawat awam yang ditekankan oleh JNAS itu juga akan diberikan perhatian serius untuk disiasat dan ditangani bersama syor-syor lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Kata beliau, pihaknya menyambut baik peningkatan positif kepada Malaysia yang berjaya dinaiktaraf ke Tahap 2 Pemerhatian dalam Laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2023 yang diumumkan semalam.
“Antara pencapaian signifikan yang direkodkan Malaysia adalah peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan bilangan mangsa, pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit, peningkatan bilangan latihan dan juga peningkatan perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan orang.
“Laporan ini juga menggariskan 15 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.
“Antaranya meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah.
“Selain itu, laporan ini juga menyarankan agar diberi penekanan kepada kes pemerdagangan orang yang melibatkan penjawat awam serta menambah baik kerjasama antara agensi.
“Kita sedar walaupun siasatan, tangkapan dan pendakwaan kita sebelum ini tidak menunjukkan penglibatan kelompok itu (penjawat awam), kita tetap mengambil serius perkara itu seperti ditekankan dalam laporan JNAS dan tidak akan berkompromi dalam soal ini (dua tahun berturut-turut tersenarai) dengan tindakan pencegahan,” katanya dalam sidang media khas penarafan Malaysia dari Tahap 3 kepada Tahap 2 Pemerhatian yang diadakan di KDN petang tadi.
Sidang media itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Rusli Jusoh.
Tambahnya, laporan tahun lalu juga JNAS menyenaraikan penglibatan penjawat awam dan perkara ini sememangnya dalam radar KDN.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, jika dibandingkan dengan pembabitan pihak majikan, ejen dan sebagainya tidak sampai sehingga tahap pembabitan penjawat awam secara langsung (pemerdagangan manusia).
“Tetapi badan yang nilai kita (JNAS) berpendapat tidak mungkin hal itu berlaku tanpa penglibatan dalam kalangan penjawat awam.
Ttambah Saifuddin, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh KDN bersama-sama dengan Kementerian dan Agensi Kerajaan lain akan sentiasa mengambil tindakan strategik dan tegas sebagai respon kepada penemuan laporan ini dan secara tidak langsung memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.
Perkara yang sedang dalam pelaksanaan adalah meningkatkan kemahiran agensi penguatkuasa di seluruh negara dalam aspek pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang melalui Roll Out Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0) yang telah dilancarkan pada 22 Mac
2023 yang lalu.
Saifuddin juga menjelaskan, KDN dan MAPO akan terus memperkasakan sinergi dan kerjasama erat dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam memastikan isu ini ditangani secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation tanpa kompromi demi keselamatan dan kedaulatan negara.
Selain itu, para majikan juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan hak dan kebajikan pekerja dipelihara bagi mengelakkan daripada berlakunya amalan buruh paksa dan pemerdagangan orang.
Katanya, tempoh setahun sehingga 31 Mac 2024 adalah sangat penting untuk KDN menyusun strategi dan tindakan untuk melonjakkan Malaysia dari tahap 2 pemerhatian ini kepada Tahap 2 biasa dan seterusnya Tahap 1.
Ditanya mengenai kesan kepada Malaysia dengan penarafan terbaharu itu, Saifuddin berkata, lonjakan ini sangat signifikan dan manfaat dari segi aspek pertumbuhan ekonomi negara memandangkan, syarikat penggajian pekerja asing gergasi seperti Sime Darby, Kilang Sarung Getah Top Glove dan Felda Global Ventures sudah dikeluarkan dari senarai syarikat yang dilarang eksport barang ke AS selepas disekat sebelum ini atas alasan buruh paksa.
Kali terakhir Malaysia menduduki Tier 2 adalah pada tahun 2017 sebelum diturunkan kepada Tier 2 Pemerhatian bermula 2018 dan kekal pada kedudukan itu sehingga 2020 sebelum merosot ke Tier 3 sehingga 2022. – MalaysiaGazette