Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak bercakap pada sidang media di Kathmandu, Nepal, hari ini.

KATHMANDU – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, ditamatkan hari ini.

Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, operasi SAR itu akan disambung pada tahun depan selepas pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk sejak pencarian itu bermula 19 Mei sehingga 15 Jun lalu.

“Permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal juga sudah tamat dan aktiviti pendakian ke puncak Everest sudah ditutup bermula 29 Mei lalu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan; Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki dan Ketua Malim Gunung, Nga Tenji.

Turut hadir dua ahli keluarga Hawari iaitu adik bongsu, Mohamad Ismail dan Azhar Ilias.

Sebelum ini media melaporkan Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat lalu selepas berjaya menakluk punca Everest petang 18 Mei lalu.

Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times, 20 Mei lalu.

Operasi SAR ME2023 mengesan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga namun selepas dikenal pasti ia hanyalah longgokan sampah dan khemah yang diterbangkan angin pada Khamis.
“Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video dirakam dron pada 8 Jun lalu yang menunjukkan seperti jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian.

Dalam pada itu, operasi SAR yang diadakan pada Khamis turut mengesan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga namun selepas dikenal pasti ia hanyalah longgokan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.

“Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video dirakam dron pada 8 Jun lalu yang menunjukkan seperti jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian.

“Namun ia sengaja tidak mendedahkannya kerana ia masih belum disahkan lagi,” katanya.

Misi pendakian ME2023 ini dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung, logistik dan makanan sepanjang misi ke puncak Everest.

Sebelum ini, Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang RM500,000 kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Hawari.

Tambah Azim,operasi SAR terakhir yang diadakan pada Khamis sepatutnya dilakukan pada Selasa lalu, namun disebabkan cuaca buruk, pasukan SAR dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang dikesan.

Menurutnya, tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi itu telah menjumpai objek itu dan mengesahkan ia bukan jasad Hawari.

Jelasnya, operasi SAR ini dijangka disambung pada musim pendakian 2024 namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.

“Status Hawari diletakkan sebagai ‘orang hilang’ kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini,” katanya.

Katanya lagi, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak kedutaan Malaysia di Nepal.

“Operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi keselamatan pasukan SAR dan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast