SHAH ALAM – Semua ahli mahupun kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU16) yang diramal diadakan sebelum penggal tamat pada 2027.
Setiausaha Agung Bersatu yang baru dilantik, Datuk Seri Azmin Ali yakin pilihan raya mengejut akan berlaku sebelum tamatnya penggal pemerintahan Kerajaan Madani disebabkan tekanan daripada rakyat.
“Saya percaya dengan tekanan daripada rakyat hari ini, yang menyatakan Kerajaan Madani sebagai kerajaan yang gagal, Putrajaya tiada pilihan lain selain membubarkan Parlimen.
“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu hari ini.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata, akar umbi Bersatu akan terus diperkuatkan sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya nanti.
Beliau berkata, kepimpinan Bersatu akan terus menggiatkan usaha dan memberi komitmen tinggi membantu setiap cawangan parti ini di seluruh negara.
“Saya berikrar pentadbiran baru ini akan turun padang dan membantu akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian untuk mengukuhkan parti menerusi keahlian yang lebih ramai dan cawangan yang lebih banyak.
“Langkah ini agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya negeri ataupun pilihan raya umum akan datang kerana pilihan raya umum tidak semestinya diadakan tiga tahun dari sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
cAzmin/PN/PAS bagai diserang “Mental Disorder”??.. “RAKYAT”??, sebagai alasan rampas kuasa, walhal “Kerakusan Diri” , “Dendam Membusuk”, “Tamak Kuasa”. ..Bikin malu, nama Islam tapi menjatuhkan sesama Islam tidak membantu langsung mengamankan fikiran/kemahuan rakyat & bersama membangunkan majukan Negara Malaysia..bagai manusia terpaling bijak pandai urus negara??.