KUALA LUMPUR – Pembangkang disaran supaya menghentikan prejudis terhadap standard pemakaian jururawat di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Mahani Masban berkata, ahli Parlimen pembangkang sepatutnya menggunakan kapasiti masing-masing untuk membincangkan isu rakyat yang lebih relevan.
“Berhentilah mendefinisikan nilai iman dan agama seseorang atau sesetengah profesi hanya dari pemakaian sebaliknya lihatlah kepada keperluan pekerjaan dan sumbangan mereka dalam bidang perubatan dan fokus pada saranan dasar yang lebih menjaga hak kebajikan golongan pekerja kesihatan ini yang paling besar sumbangannya ketika musim pandemik.
“Budaya menghakimi nilai agama seseorang atau sesebuah profesi hanya dari pemakaian yang terzahir adalah tidak wajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Mahani, kerjaya jururawat sepatutnya dihormati kerana mereka berdepan dengan situasi yang mencabar setiap hari.
“Barisan pimpinan pembangkang yang berdiri di sidang dewan parlimen seharusnya lebih mendasari tugas sebagai seorang ahli parlimen adalah untuk peka pada isu-isu dan masalah utama rakyat terutamanya didalam memperbaiki ekonomi dan kos sara hidup rakyat dalam peralihan fasa endemik ini,” tambahnya.
Menurutnya lagi, kod dan etika pemakaian jururawat adalah berdasarkan keperluan pekerjaan kerana setiap pegawai perubatan berdepan dengan risiko dalam mengendalikan peranti perubatan berwayar, mesin pengesan ritma jantung dan pelbagai mesin perubatan yang menggunakan pendawaian dan elektrik bervoltan tinggi.
“Golongan ini harus memakai pakaian yang tidak terlalu longgar agar mudah menjalankan tugas dan mengendalikan mesin peranti perubatan berwayar. Pemakaian yang terlalu labuh dan longgar akan meninggikan risiko kepada pegawai perubatan dalam mengendalikan mesin peranti perubatan,” tambahnya.
Sehubungan itu, Mahani menegaskan tidak wajar untuk melontarkan kenyataan yang prejudis dan skeptikal kepada golongan berkenaan.
“Namun dari pemerhatian, ahli Parlimen pembangkang dilihat lebih kritis dalam mempersoalkan isu peribadi dan mengaitkan soal agama dalam sesebuah profesi dan pentadbiran awam.
“Pihak pembangkang harus mengkaji terlebih dahulu sebelum mengusulkan dasar baru atau mencadangkan pindaan pada peraturan sedia ada. Mereka juga harus lebih bijak dalam memahami keperluan pemakaian tertentu sesebuah profesi,” ujarnya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwanya ketat dan tidak patuh syariah.
Justeru, pemimpin Pas itu menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.- MalaysiaGazette