Guan Eng bersama jururawat hospital, tiada pakaian yang dikatakan ketat atau menjolok mata.

KUALA LUMPUR – Mempertikaikan pakaian jururawat membuktikan pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak ada idea dalam usaha untuk meningkatkan sistem kerja di negara ini.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, pimpinan PN lebih tertumpu kepada satu pandangan sahaja iaitu hal berkaitan tidak patuh syariah walaupun pakaian jururawat di seluruh negara menetapi etika ditetapkan.

Kata beliau, sepatutnya Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor memberi tumpuan kepada masalah kekurangan jururawat yang menyebabkan dewan bedah dan katil ICU hospital tidak dapat digunakan sepenuhnya.

“Tetapi mereka lebih seronok memberi perhatian kepada pakaian seragam jururawat yang kononnya sempit dan ketat. Ini sangat keterlaluan dan memalukan.

“Ia satu penghinaan kepada kerja dan imej jururawat di Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Beliau membuat hantaran itu sebagai mengulas tindakan Wan Razali mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.

Wan Razali mendakwa, ramai jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat mengikut acuan barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai.

Menurut Guan Eng, pakaian seragam jururawat direka berdasarkan fungsi dan keperluan perubatan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas, selain mematuhi nasihat unit penyakit berjangkit dan garis panduan ditetapkan KKM.

Katanya, sesiapa yang pernah ke hospital mesti tahu pakaian seragam jururawat tidak terdedah sepertimana digembar-gemburkan.

“Kenapa Ahli Parlimen PN Kuantan, Wan Razali Wan Nor hendak provokasi perkara ini? Kekurangan jururawat telah menyebabkan penggunaan dewan bedah dan katil ICU di Hospital Kepala Batas dan Hospital Bukit Mertajam mengalami kekangan.

“Dua daripada empat dewan bedah di Hopsital Kepala Batas serta dua daripada tiga dewan bedah di Hospital Bukit Mertajam tidak dapat digunakan.

“Di samping itu, Hospital Kepala Batas mempunyai 26 katil ICU dengan harga tetapan setiap katil ICU melebihi RM1.5 juta tetapi 10 katil tidak boleh digunakan kerana kekurangan jururawat,” katanya.

Ujar beliau, kekurangan jururawat telah melambatkan operasi menyelamat dan membawa krisis kepada sistem perubatan namun Ahli Parlimen PN menutup mata terhadap perkara itu.

“Sebaliknya, menumpukan pakaian seragam jururawat. Ini sesuatu yang tidak membina dan sangat tidak bertanggungjawab.

“Seperti Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) yang menggunakan perkataan kesat dalam ucapan awam tetapi beliau tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi Kedah,” ujar beliau.

Kata Guan Eng lagi, rakyat Malaysia memerlukan wakil rakyat yang membina dan mampu membuat kerja bukan ahli politik yang hanya tahu bergosip dan cakap perkara tidak relevan.

Jelas beliau, memilih ahli politik seperti ini seolah satu pembaziran undi dan pada pilihan raya negeri akan datang, semua pengundi perlu berfikir dua kali sama ada mahu yang pandai main sentimen lebih daripada buat kerja membina untuk mewakili diri mereka sendiri. – MalaysiaGazette