Anwar pada majlis penyerahan kunci rumah berkenaan di Kampung Tok Bedu, Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Penantian empat keluarga untuk memiliki kediaman sendiri bukan menjadi realiti malah lebih bermakna apabila mereka menerima kunci daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri hari ini.

Malah keempat-empat mereka, Md Nasir Md Shariff, 42; Siti Nooraie Hassan, 36; Hasimi Ayu Hashim, 47 dan Rosmida Yahya, 40, rasa gembira kerana memiliki rumah pada Hari Raya Aidiladha  tidak lama lagi.

Menurut Md Nasir, rumah pusaka yang telah usang dan bocor membuatkan mereka lima sekeluarga amat memerlukan kediaman baharu yang lebih selesa.

Md Nasir  di hadapan rumah baharunya di berikan secara percuma oleh kerajaan menerusi ICU JPM di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

Pembantu tukang masak kantin sekolah itu tidak menyangka memperoleh kediaman secara percuma susulan hanya membuat permohonan untuk membaiki rumah dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Alhamdulillah dan saya tak dapat nak gambarkan perasaan syukur itu kerana kalau dahulu setiap kali hujan atau angin kuat kami sekeluarga tidak dapat tidur lena tapi kini kami dapat berteduh dengan lebih selesa.

“Permohonan untuk memiliki rumah ini juga diluluskan dengan cepat di mana hanya mengambil masa tujuh bulan sahaja,” katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah berkenaan di Kampung Tok Bedu hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penerima Siti Nooraie Hassan, 37, menyifatkan rumah baharu itu sebagai hadiah Hari Raya Aidiladha bagi mereka sekeluarga.

“Suami saya terlantar sakit akibat kemalangan awal tahun lalu dan dengan rumah baharu ini menjadikan dia boleh tinggal dengan lebih selesa.

Siti Nooraie.

“Terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar yang membantu kami,” katanya.

Setiap rumah Kasih Ihsan itu berkeluasan 660 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur serta bilik air membabitkan kos pembinaan sebanyak RM75,000 seunit.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Kasih Ihsan secara percuma dalam menyediakan kediaman selesa kepada golongan rakyat dalam kategori miskin dan miskin tegar.

Sebagai projek rintis empat rumah Kasih Ihsan telah dibina di Kampung Tok Bedu di sini serta Padang Menora, Penaga dan Machang Bubuk dekat sini.

Anwar pada Majlis Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Tok Bedu hari ini.

Empat rumah itu dibina di atas tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara dan tanah milik keluarga yang diberikan kebenaran untuk membina kediaman atas tanah terbabit. – MalaysiaGazette