KOTA TINGGI – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta melihat semula pinjaman untuk diubahsuai bagi pelaksanaan pembelajaran secara hibrid.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia berikutan pendekatan pembelajaran secara hibrid bukan diwajibkan sebaliknya sekadar satu pilihan.
“Kalau dia hibrid atau pun anjal, ia adalah satu bidang atau pendekatan yang sebenarnya satu pilihan. Bukan diwajibkan untuk semua pelajar ambil secara anjal.
“Kalau nak empat tahun maka empat tahun tetapi kalau dia anjal maka dia boleh mohon secara anjal tetapi ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan secara anjal. Bukan semuanya hanya dalam 90 bidang sahaja sesuai untuk dilakukan secara anjal dan bukannya semua.
“Macam UM (Universiti Malaya) pun bukan semua, tidak banyak dalam dua hingga tiga subjek sahaja. Macam sains sukan, macam IT (teknologi maklumat) IT ini dan komputer ini semua industri nak ianya dipendekkan, tak ada sebab untuk dilanjutkan sampai empat tahun. Supaya pelajar boleh keluar cepat.
“Itu semua program yang dipendekkan tetapi yang anjal ini program-program yang boleh dibuat secara begitu dan saya telah meminta supaya pihak PTPTN melihat sejuah mana perlu diubahsuaikan pinjaman yang nak. Kita pertimbangkanlah,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke Felda Bukit Easter di Kota Tinggi hari ini
Sebelum itu Mohamed Khaled ditanya mengenai gesaan Angkatan Mahasiswa UM supaya yuran pengajian di universiti awam negara dikurangkan sehingga ke 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam.
Katanya, pelajar boleh memohon belajar secara anjal yang hanya melibatkan subjek-subjek tertentu.
Terdahulu, Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah mencadangkan yuran IPTA wajar dikurangkan 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di semua universiti awam.
Katanya, akses fasiliti pelajar apabila pembelajaran hibrid dan jadual anjal berlangsung adalah seperti menggunakan akses fasiliti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perpustakaan, peralatan sukan sahaja.
Nur Nazirah berkata, beberapa faktor perlu dikaji dalam pelaksanaan sistem pembelajaran sedemikian terutama berkaitan pelajar luar bandar dan B40 yang diketahui antara yang paling ramai berjaya melayakkan diri ke institusi ini.- MalaysiaGazette