Foto: Bomba

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 267.2, berhampiran susur keluar Jabor dekat Kemaman, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isterinya, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Dua kanak-kanak dipercayai anak pasangan berkenaan iaitu Muhammad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.14 petang sebelum lapan anggota dengan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh digerakkan ke lokasi.

“Tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua kanak-kanak tersebut masing-masing telah dibawa ke Hospital Kemaman dan Hospital Kuantan untuk diberi rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, operasi JBPM masih diteruskan untuk kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan.- BERNAMA