KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang diburu sebagai suspek kes kemalangan maut sehingga seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi mati tercampak dari ketinggian 30 meter dalam di Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Rabu lalu akhirnya menyerah diri kepada polis.
Suspek yang merupakan warga tempatan mendakwa dia telah tersesat jalan sebelum terpaksa menunggang motosikal secara melawan arus untuk pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berkenaan telah membuat laporan polis berkaitan kemalangan maut itu di Balai Trafik Kajang semalam.
“Siasatan mendapati suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga kedai makan dan menetap di Kajang.
“Siasatan lanjut polis mendapati semasa kejadian itu, suspek sedang dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang sebelum mendakwa tersesat jalan dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuh Raya SUKE secara melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
BACA: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter di SUKE
Tambah Mohd Azam, suspek turut mengalami kecederaan dalam insiden nahas itu apabila terjatuh selepas motosikalnya bergesel dengan motosikal Ducati yang ditunggang mangsa.
Katanya, suspek kemudiannya terus pulang ke rumah dan hanya menyedari mengenai kemalangan maut yang berlaku itu setelah menonton berita dan hebahan di media sosial.
“Pemeriksaan polis mendapati suspek turut mengalami patah di bahagian bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat insiden itu.
“Malah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang suspek bersama beberapa barangan lain turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut polis.
“Setakat ini polis telah selesai merekodkan keterangan daripada enam saksi termasuk suspek dalam kes ini sementara motosikal suspek dan motosikal milik mangsa akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut,” tegasnya.
Tangkapan tidak dibuat memandangkan kondisi suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.
Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan stabil, katanya.
Pada 14 Jun lalu, seorang lelaki warga emas maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jejambat di Kilometer 22.2 Lebuh Raya SUKE susur Hulu Klang menuju ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Ampang.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal suspek yang secara tiba-tiba muncul di hadapannya secara melawan arus.
Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah bahu kiri jalan sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan dari ketinggian kira-kira 30 meter sebelum disahkan meninggal dunia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hantar rakaman CCTV ke makmal forensik, penunggang cuai masih diburu