Penunggang Ducati berusia 60-an maut akibat tercampak dari jejambat SUKE selepas cuba mengelak penunggang motosikal melawan arus dalam kejadian Ampang pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Polis telah menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di lokasi nahas jalan raya yang menyebabkan penunggang motosikal berkuasa tinggi maut akibat tercampak dari jejambat di Lebuhraya Sungai Besi-Hulu Klang (SUKE) kepada makmal forensik untuk kajian dan analisa lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya masih giat memburu penunggang motosikal yang cuai melawan arus sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 60 tahun akibat patah kaki selepas terjatuh dari ketinggian 30 meter.

“Setakat ini kami masih meneruskan siasatan dalam kes ini, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan polis masih giat memburu penunggang motosikal lawan arus itu.

“Manakala, rakaman CCTV kejadian di Lebuhraya SUKE telah diteliti dan telah dihantar ke Makmal Forensik PDRM untuk kajian lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, proses bedah siasat telah selesai dijalankan ke atas mayat mangsa di Hospital Ampang pada semalam.

“Hasil bedah siasat mendedahkan bahawa sebab kematian mangsa adalah multiple injuries due to road traffic crash manakala jenazah telah diserahkan kepada waris pada hari yang sama selesai proses bedah siasat selesai.

“Pada masa yang sama, polis mahu orang ramai yang mengetahui kejadian dan saksi untuk tampil untuk salurkan maklumat bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pukul 1.05 tengah hari kelmarin, sebuah motosikal dikesan melawan arus dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang, naik ke Lebuhraya SUKE dalam keadaan melawan arus.

Ketika melalui satu laluan berselekoh, motosikal mangsa jenis Ducati yang datang dari arah Ampang menuju ke arah Ulu Kelang itu dilaporkan cuba mengelak motosikal yang melawan arus sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan sebelum tercampak dari jejambat setinggi 30 meter itu.

Mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakaman CCTV penunggang motosikal lawan arus diserah kepada polis