Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd Datuk Mohammad Azlan Abdullah (kiri) menyaksikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melakukan gimik perasmian Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai, Lebuhraya SUKE Fasa 2, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penunggang motosikal berkuasa tinggi yang maut selepas terjatuh dari jejambat akibat penunggang sebuah lagi motosikal melawan arus semalam diserahkan kepada polis.

Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, video berkenaan diserahkan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

“Kejadian semalam amat dikesali sebagaimana kita tahu, penunggang berkenaan maut selepas dilanggar penunggang lain yang melawan arus. Kami telah menyerahkan segala bukti kejadian melalui CCTV sepanjang SUKE kepada polis,” katanya ketika sidang media selepas perasmian Lebuhraya Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) fasa dua di Plasa Tol Alam Damai.

BACA: Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut jatuh 30 meter di SUKE

Ujar Mohammad Azlan, pihak PROLINTAS akan mengambil inisiatif untuk meletakkan papan tanda amaran melawan arus bagi memberi kesedaran kepada pengguna lebuhraya berkenaan.

“Dari segi aspek teknikal pembinaan lebuh raya ini  dibina mengikut spesifikasi tinggi dan disahkan semua pihak berkuasa dan jurutera perunding. Isu ini adalah berkaitan kesedaran pengguna,” katanya lagi.

Terdahulu, kemalangan melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale berlaku di SUKE semalam apabila mangsa terjatuh dari jejambat.

Dalam kejadian sekitar 1.05 tengah hari itu, penunggang motosikal Ducati berusia 60-an dari arah Ampang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang.

Dilaporkan berkuasa tinggi ditungganginya  sedang melalui satu laluan berselekoh sebelum secara tiba-tiba didatangi sebuah motosikal dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus .-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis buru penunggang motosikal lawan arus di Lebuhraya SUKE